Thursday, April 21, 2011

Problem dan Ujian

Dalam solat, kita berbicara dengan Allah : Alhamdu Lillahi Rabbil Alameen.

'Alhamdu',dalam tafsir bahasa Melayu, memberi erti 'segala puji'.Tapi 'Alhamdu' yang sebenar bermaksud 'segala pujian dan rasa syukur'.

Memuji tak semestinya bermakna kita berterima kasih. Berterima kasih tak semestinya imply yang kita tengah memuji.

Ayat yang kita baca ni, memberitahu, yang allah ni, tak kisah la apa dia buat, segala puji dan terima kasih untuk Dia. Kalau dia bagi hujan lebat, terima kasih. Dia bagi salji lebat, terima kasih. Dia bagi lulus exam, terima kasih. Dia bagi fail exam, terima kasih. Sebab apa? Allah sentiasa nak yang terbaik untuk hambanya. Kan allah tu maha pengasih? Akal manusia yang limited ni, susah nak faham perbuatan2 Allah dan takdirnya.

Jadi, problem tu, pun datang dari Allah. Ia adalah ujian untuk meningkatkan darjat di sisi Allah. Ia juga tazkirah, agar kita sentiasa dekat kepada-Nya.

Hai hati, merendahlah di hadapan Allah taala; terimalah ujian-Nya, tanpa engkau mengeluh sedikit pun.

Hai hati, rasailah kemanisan dalam kesedihan. Kerana bila sedih, engkau akan lebih tertaut kepada Allah.

Hai hati, bergembiralah. Dan yakinlah dengan janji Allah: sesungguhnya dengan kesusahan adanya kesenangan!


-Tazkirah untuk dirimu Khalis-

Monday, April 4, 2011

Pemuda Melayu: Cukup Jantankah?

Para pemimpin, mencorakkan para pemuda negara. Dulu seingat saya, sebelum Dr Mahathir, tak pernah dengar lagi istilah politik lucah, baik dari mulut generasi lama, atau dari catatan sejarah. Selepas Dr Mahathir menggunakan taktik politik lucah ni untuk menjatuhkan Anwar, taktik ni berkembang, bak kata orang kita 'seperti cendawan tumbuh selepas hujan'.

Generasi pemimpin sekarang, telah dicorakkan oleh pemimpin masa lalu. Kalau sifu dia suka politik lucah, anak murid pun akan suka.

Arena politik mahasiswa di Malaysia pun tak kurang dari sudut kejelekan. Saya mohon maaf kalau ada yang tersinggung. Belumlah sampai tahap politik lucah. Tapi politik fitnah, jatuh-menjatuhkan, itu suatu lumrah. Inilah generasi yang bakal memimpin negara nanti. Itu di Malaysia.

Di luar negara berbeza. Tiada medan politik untuk para pemuda melayu berjuang. Setakat persatuan kecil-kecilan. Sehinggakan jawatan pun terpaksa pujuk orang untuk ambil.

Yang menjadikannya kecil, para pemuda sendiri. Suatu medan menjadi besar kerana komitednya para pemuda kepada perjuangan. Ia menjadi kecil, kerana kurangnya pemuda yang menyambut perjuangan itu.

Saya kagum dengan para pemuda yang mempunyai perjuangan. Yang saya maksudkan dengan perjuangan, ialah perjuangan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi dari memuaskan dirinya sendiri. Ada yang memperjuangkan nilai intelektual, ada yang memperjuangkan nilai moral, ada yang memperjuangkan nilai keadilan, ada yang memperjuangkan kesatuan. Pada mereka ini, ada kesanggupan untuk berkorban.

Tapi kadang-kadang saya kasihan. Mereka berjuang menitiskan air mata dan peluh. Tapi yang lain duduk tepi dan hanya turun padang kalau ada kepentingan peribadi.

Kalau untuk keseronokan, sanggup berkorban. Nak pergi meloncat-loncat di konsert, nak pergi main bola, nak makan free, nak study.

Bila ditanya, kenapa pergi konsert? Nak rilek sekali-sekala. Duduk di bilik rilek. Time weekend pun rilek. Entah berapa banyak masa yang digunakan untuk rilek. Bila tanya, kenapa pergi main bola, untuk sihat tubuh badan. Bila ditanya kenapa makan free, ala, makan free, siapa taknak? Bila tanya kenapa tak libatkan diri dalam mana-mana persatuan, oh, sibuk study. Kadang-kadang study 3 jam, tapi 2 jam setengah tu bukak youtube, lagi 30 minit tu study.

Saya tidak ada masalah dengan perbuatan-perbuatan ini. Tapi kalau tengok pola jawapan pada pemuda kalau ditanya tentang perbuatan yang disebutkan, semuanya untuk memuaskan diri sendiri. Tidak ada satupun yang memikirkan tentang nasib masyarakat kita. Tidak ada satu pun yang memikirkan tentang nasib ummat. Inilah lembu kenyang. Bila dia tak susah, buat apa perlu peduli pasal orang lain? Bila dia susah, baru bising-bising kata itu dan ini tidak adil. Ada jugak yang fikir, tetapi sekadar berfikir tanpa bertindak.

Firman Allah dalam Surah Al-a'raf 179:
Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai.

Binatang ternak hanya tahu puaskan perut sendiri. Tidak pernah memikirkan keadaan sekeliling. Seolah-olah blur. Malam tidur, esok pagi bangun, fikir perut sendiri.

Inilah krisis yang menimpa para pemuda kita. Para pemuda seolah-olah kehilangan cita-cita yang lebih tinggi dari diri sendiri. Padahal dalam diri para pemuda ini, ada potensi yang begitu besar. Revolusi Iran dipimpin oleh pemuda. Revolusi Mesir dipimpin oleh pemuda. Revolusi Tunisia pun para pemuda punya angkara. Reformasi '98 digerakkan oleh pemuda. Malah revolusi ketuhanan, moral, politik, sosial dan ekonomi yang dibawa Islam, telah didokong oleh para pemuda. Yang menaklukkan Konstantinopel itu pemuda. Yang berdakwah di Madinah sehingga kesemuanya menyokong Islam itu pemuda. Yang menggerakkan facebook dan jazeera yang menjadi agen perubahan di timur tengah itu pun para pemuda.

Tengoklah kat UK ni sendiri. Isu palestin, yang melibatkan keadilan, diperjuangkan oleh pemuda Inggeris. Bila fees naik, bergoncang parlimen Britain akibat tekanan dari pemuda Inggeris. Begitu berkuasanya pemuda.





Hadis Ghulam, yang menceritakan anak muda yang berdakwah sehingga tumpasnya kuasa zalim pemerintah, sehingga rakyat menerima Islam dan sanggup mati kerana Islam, itu pemuda. Nabi Musa yang berhadapan dengan Firaun, dia itu orang muda. Nabi Yusuf yang menjadikan negeri mesir kaya raya, dia itu pemuda.

Mereka ini pemuda jantan. Pemuda gagah. Pemuda yang hatinya tegak dan teguh apabila berjuang. Mereka tidak lembik. Mereka tidak memikirkan perut masing-masing. Malah mereka meletakkan nyawa mereka sebagai cagaran bagi kemenangan. Cita-cita mereka tinggi menjulang ke langit.

Saya yakin, keadaan malaysia tidak akan berubah selagi mana para pemuda kita tidak mempunyai cita-cita yang lebih tinggi dari diri sendiri. Pemuda, adalah watak picisan di Malaysia. Tiada apa untuk ditakutkan dengan para pemuda Malaysia. Sebab apa? Mereka seperti anak-anak kecil; masih main game, masih fikir nak tidur banyak-banyak, masih fikir nak tackle awek cun. Suaplah mereka dengan segala kesenangan dan keseronokan, nescaya kita akan miliki mereka. Kalau saya perdana menteri yang jahat, saya akan sediakan segala keseronokan dunia untuk para pemuda ini. Dan saya boleh korup tanpa batas, sebab saya tahu para pemuda ini telah dimiliki. Begitu murahnya kita.

Kita bukan main marah dan lebat bersembang bila bercerita tentang ketidakadilan yang berlaku di merata-rata tempat baik di luar atau di dalam tanah air. Bila sembang pasal korupsi, kita paling lantang kutuk sana dan sini. Bila polis tembak orang awam tanpa sebab, kita lah first bersuara. Tapi setakat itu je lah. Habis bersuara tu, kita pun balik main game. Tidur. Makan. Usha awek. Asalkan awek masih di sisi, biarlah dunia jadi neraka pun takpa. Biarlah kezaliman berleluasa pun tak kisah.

Para pemimpin yang melakukan kezaliman, terus tersenyum melihat gelagat anak muda yang seperti anak-anak kecil. Mereka yakin mereka dapat terus kekal dalam kezaliman selagi mana adanya pemuda seperti pemuda melayu.Mereka mengaku jantan, tapi jantan apa yang tak sanggup berlapar sikit pun untuk ummat? jantan apa yang tak sanggup tinggalkan Dota untuk ummat?

Cabaran utama bagi mereka yang berjuang, yang ingin mencorakkan negara dan dunia ke arah yang lebih baik, ialah merubah cita-cita para pemuda ini, dari suatu yang kecil, kepada suatu yang agung. Inilah cabaran utama, kerana para pemuda ini tonggak kepada perubahan, dan penjamin kepada masa depan.

Ingatlah, kita ni nak muda, bukannya lama. Bila dimamah usia, akan hilang potensi kepemudaan sedikit demi sedikit. Maka apabila masa kita tamat, kita akan dipersoal oleh Allah tentang usia kita. Tentang masa muda kita. Alangah malunya kita meminta Allah untuk memasukkan kita dalam syurga, sedangkan di dunia dulu kita hanya tahu nak berseronok. Seolah-olah kita nak masuk The Billionaire Club padahal kita ni miskin papa kedana. Mereka bersembang tentang duit berbilion dan kereta mewah, kita sembang pasal rumah papan dan kereta lembu.

Para pemerintah yang zalim, akan terketar-ketar lutut mereka apabila para pemuda menyerahkan diri mereka untuk cita-cita mereka yang agung. Kereta kebal dan peluru tidak dapat menghalang kuasa pemuda. Ambillah peluang ini, sementara ia masih ada.

Wallahu A'lam.

Tuesday, September 28, 2010

Terimalah Seadanya

Semak dadaku

Simpulan-simpulan itu bagai sukar diurai

Terkadang apa yang diperlukan bukanlah usaha sebanyak mana


Mungkin masalah itu terletak pada kaca mata yang ku pakai selama ini

Aku akan menggilapmu wahai kaca mata

Agar pandanganku jelas,jernih,dan suci.

Friday, August 20, 2010

Bismillah

Lama aku fikir semalam,

Dan tadi;

Kita nak bina suatu bangunan

Ada yang kata meletakkan batu bata itu paling penting

Semua kena tolong letak batu bata

Supaya bangunan cepat siap


Ada yang kata

Kumpul duit beli kren lagi bagus

Dan membina penghadang-penghadang supaya angin yang bertiup tak menggoncang

dan membantutkan pembinaan bangunan


Aku?

Aku kata

Dua-dua penting

Tukang letak batu dah pasti penting,

Kalau tak masakan bangunan akan melangit

Tapi letak penghadang pun sama pentingnya

Kumpul duit beli kren pun sama pentingnya

Mudahlah sikit tukang letak batu nak bina


Yang menjadi masalah

Kalau semua nak beli kren atau bina penghadang

Siapa nak letakkan batu?

Kalau semua nak bina batu

Siapa nak bina penghadang?


Hakikatnya dua-dua saling melengkapi

Persoalannya

Kat mana kita letak penggunaan kedua-dua kemahiran mengikut keadaan tempat dan masa

Dan paling penting

Bagaimana kita menjaga batas-batas sewaktu perbezaan

Supaya tak keluar dari jalan iman dan taqwa


Wallahu a'lam

Friday, August 13, 2010

Kau Bertandang Kembali

Kita rasa kita sudah jauh melewati zaman jahiliyyah

Kita sangka jahiliyyah itu pada penyembahan berhala

Kita sangka jahiliyyah itu pada dibuangnya anak perempuan tidak berdosa

Kita sangka jahiliyyah itu hanya pada orang Arab dahulu kala


Kita?

Kita maju

Usah diungkit kembali zaman itu

Kerana jauhnya terasa seperti zaman batu


Kau tak percaya kita maju?

Lihat bangunan tinggi itu

Apa lagi kau mahu?


Lihat pakaianku ini

Belah sana belah sini

Kita ni maju,kau tak mengerti?


Lihat pada cawanku berisi whisky ini

Inilah Islam liberal,yang ortodoks boleh pergi mati

Dengan cawan ini aku dipandang tinggi

Diterima sebgai warga dunia sejati


Kau nak apa lagi?

Campakkan sejadahmu ketepi

Mari ikut aku, kita ronggeng dan kita party

Inilah kehidupan zaman teknologi

Engkau tak nikmati,kau yang rugi

Allah kan maha pengampun lagi maha mengasihani


Hakikatnya,kau buta

Hatimu buta

Kelak butamu itu bakal mengheretmu ke neraka


Celikkan hati mu selua-luasnya

Dan perhatikan apa yang terjadi di kiri kananmu


Bayi dibunuh setiap hari

Zina berleluasa tanpa ikatan suami isteri

Yang lemah miskin ditindas tanpa henti

Yang kuat kaya terus menerus menzalimi


Kau tak perlu lihat ke tanah tandus arab itu

Alihkan pandanganmu ke tanah airmu

Dan engkau dapati malah ia lebih teruk dari jahiliyyah yang kau kenal!


Apa lagi hujah kau nak beri?

Hakikatnya,jahiliyyah telah lama bertandang kembali!

Thursday, August 12, 2010

Lembik

Kalau jiwa kau lembik

Ditolak sekali,give up

Dimarahi,jadi kecut

Dikata-kata dimaki,berundur

Dihalang,mengalah

Diajak ke gelanggang,seribu alasan

Sendiri gagal,tuding jari

Duduk atas katil,panjang angan-angan

Disuruh bergerak,malas

Tiada follow up,tak gerak

Orang tak datang program,patah semangat

Bilangan seat banyak kosong,melenting

Ada problem,otak beku

Ada kecemasan,kaku

Ada keperluan,liat

Tidur sedikit,mengeluh

Makan tak cukup,tarik muka


Usah berjuang dan usah berbicara tentangnya.


Nah.Paku betul-betul dalam kepala kau.

Wednesday, August 11, 2010

Kekuatan

Binaan itu

Ku sangka ia kukuh

Ku sangka ia teguh

Rupanya ia begitu rapuh



Binaan itu

Ku sangka ia gagah

Kerana pada lahirnya ia tersergam indah



Tingginya menjulang ke langit

Bilangan batuannya bukan sedikit



Tapi ia rapuh

Seperti rapuhnya kayu yang dimakan anai-anai



Dirinya hanya menanti sang angin yang gagah

Kelak berguguranlah batuannya yang banyak satu persatu

Hingga semuanya menyembah bumi,rebah



Binaan itu

Kuatnya bukan pada bilangan batu

Teguhnya bukanlah pada ketinggiannyan itu



Kuatnya ialah pada yang memahat batu-batu

Kuatnya ialah pada yang menyusun batu-batu

Kuatnya ialah pada cara pembuatan yang jitu



Sedangkan segala kekuatan itu lahir dari hubungan antara pembina dan pencipta yang

satu




Yang tak pandai buat sajak
Ultraman Taro
0120,Perlis
Antalogi 'Jika'